Sistem Ejaan Dialek Kadayan
Syabas kepada saudara Amde Sidek yang telah membangkitkan isu sistem ejaan dialek Kadayan, dan tahniah kepada saudara Abdul Samat Kasah kerana dapat mengutarakan isu ini dalam blog `Reaping the benefits’ untuk difikirkan bersama oleh aktivis dialek Kadayan. Seperti yang dijelaskan oleh saudara Abdul Samat Kasah dalam artikel beliau `Permasalahan Berkaitan Sistem Ejaan Dialek Kedayan/Kadayan’, bahawa dalam dialek Kadayan konsonan `r’ seolah-olah tidak wujud dalam pertuturan orang Kadayan kecuali perkataan baru seperti `Tan Sri’ (Malaysia) dan `Seri Laila Jasa’ (Brunei). Demikian juga dalam pertuturan Kadayan tidak ada `e’ pepet. Bererti konsonan `r’ dan vokal (vowel) `e’ dalam bentuk bunyi `e’ pepet tidak wujud dalam pertuturan orang Kadayan. Kecuali, kalau kita sepakat vowel `e’ digunakan di `sukukata akhir’ seperti perkataan `Hari’ dan jika dikadayankan menjadi bunyi `Aie’ atau `Haie’. Ejaan `Aie’ ini adalah mengikut sebutan dialek kadayan. Jika ditiadakan vowel `e’ dalam perkataan `Aie’ akan menjadi bunyi `Ai’ atau `Hai’ saja. Vokal `e’ memberi penekanan bunyi `e’ yang terdapat dalam dialek Kadayan. Lain halnya dengan perkataan bahasa Melayu `Rai’ (meraikan bermakna menjamu) dan `Rai’ tetap tidak dieja atau ditulis `raie atau raii’. `Rai’ juga mungkin tidak dijumpai dalam istilah bahasa Kadayan. `Rai’ atau `meraikan’ mungkin bagi Kadayan ialah `Meramaikan’ (Ramai). `Meraikan’ bererti `Maamaikan’.
Bagi mengelakkan keliruan fonetik dan ejaan, saya kira vokal `e’ patut diambil kira dalam membentuk bunyi dan ejaan dialek Kadayan. Perhatikan contoh di bawah ini:
Diri - Die
Kambing Biri-biri - Kambing Bie-bie
Kalau ditiadakan vokal `e’ daripada perkataan `Die’ (Diri), maka `Die’ menjadi `Di’. Perkataan bahasa Melayu `Di’ memberi makna `arah’ atau `letak’. Kalau kita terus gunakan `Di’ ini sebagai sebutan atau tulisan persuratan Kadayan, maka kita akan menjadi keliru membaca teks Kadayan.
Contoh:
Ayat 1:
Aamai jamu dangan di umah Haji Jambol malihat mantuka bahaau dibalinya antaie. Mun di ani alum tabali mantuka bahaau, mahal hantap jamu haaganya kaang ani.
Ayat 2:
Aamai jamu dangan di umah Haji Jambol malihat mantuka bahaau dibalinya antaie. Mun die ani alum tabali mantuka bahaau, mahal hantap jamu haaganya kaang ani.
Ayat 2 mudah dibezakan antara perkataan `di’ dan `die’ (diri) dibandingkan dengan Ayat 1 di atas.
Contoh ejaan bunyi sebutan Kadayan:
Hari - Aie atau Haie
Kelmarin - Kalamaie
Tadi - Antaie
Biri-biri - Bie-bie
Diri - Die
Miri - Mahie
Ikan Pari - Lauk Paie
Konsonan `r’ di permulaan perkataan:
Saya setuju apa yang dijelaskan oleh saudara Abdul Samat Kasah, dan saya ingin memberi sedikit pandangan mengenai konsonan `r’ di permulaan perkataan dieja atau ditulis seperti berikut:
Ratus - Aatus
Rasa - Aasa
Raya - Aaya
Rabung - Aabung
Rabun - Aabun
Ramas - Aamas (beza dari ejaan perkataan Emas - amas).
Contoh di atas, ada konsonan `r’ tetapi tidak jelas dalam sebutan pertuturan Kadayan, konsonan `r’ menjadi bunyi `A’. Jadi `A’ di awal perkataan `Aatus’ menggantikan bunyi konsonan `r’. Jadi saya setuju bunyi dialek Kadayan ini dieja `Aatus’.
Ada beberapa perkataan yang mempunyai konsonan `r’ tetapi langsung tidak dibunyikan dalam pertuturan Kadayan, contohnya:
Rimba - Imba
Rintik-rintik - Intik-intik
Rotan - Otan, autan
Roti - Oti
Rumah - Umah
Rumpang - Umpang
Runtuh - Untuh
Rumput - Umput
Jika diperhatikan contoh di atas vowel `I’, `O’ dan `U’ selepas konsonan `r’ lebih jelas dibunyikan vowel `I’ seperti `Imba’, vowel `O’ seperti `Otan’, dan vowel `U’ seperti `Umah’ dan tiada langsung bunyi konsonan `r’ dalam sebutan perkataan-perkataan di atas. Saya fikir ejaan perkataan-perkataan di atas adalah sesuai dan tepat.
Konsonan `r’ di penghujung perkataan:
Saya setuju cara saudara Abdul Samat mengeja atau menulis perkataan seperti berikut:
Benar - Banaa
Keluar - Kaluaa
Seluar - Saluaa
Kembar - Kambaa
Vowel `a’ di penghujung perkataan Banaa, Kaluaa, Saluaa dan Kambaa adalah menggantikan konsonan `r’ kepada bunyi `a’.
Konsonan `r’ di pertengahan perkataan dan contoh ejaan:
Kerbau - Kaabau
Beruk - Baauk
Kerana - Kaana
Terbang - Taabang
Kering - Kaing
Kereta - Kaita, Kuita, Mantuka
Merah - Meah
Perahu - Pahaau
Gerak - Gaak, Gagar
Guru - Guu
Buruk - Buuk
Lurus - Luus
Kurus - Kuus
Marak - Maak
Barang - Baang, naindah
Karang - Kaang
Kapal terbang - Bilon
Biru - Biu
Tiru - tiu
Guru - Guu
Garu - Gaau
Baru - Bahaau
Perahu - Pahaau
Saya mohon maaf, saya juga tidak mempelajari sistem ejaan Kadayan. Beberapa ejaan yang saya sarankan dalam blog ini sama seperti ejaan yang digunakan oleh saudara Abdul Samat. Seperti saudara Abdul Samat, Saya juga mengeja perkataan-perkataan Kadayan ini hanyalah mengikut atau berpandu kepada fonetik (bunyi) sebutan dalam pertuturan Kadayan. Ejaan dialek Kadayan yang saya sarankan di atas bukanlah suatu ketetapan, dan perlu ada bantuan dari pakar dialek dan ejaan perkataan-perkataan Kadayan bagi menyelesaikan masalah system ejaan dialek Kadayan ini.
mdjr_alhaj@yahoo.com